Saturday, January 24, 2009

Abdullah bin Saba'

BIANG KELADI DALAM ISLAM

Sayyidina Usman bin Affan diangkat menjadi Khalifah hasil keputusan musyawarah para sahabat seiepas Sayyidina Umar bin Khatab r.a. dibunuh oleh kaum munafik. Pada waktu itu keadaan zaman sedang dilanda pergolakan dan keresahan. Dengan ketenangan dan kebijaksanaan Khalifah Uthman, suasana pemerintahan dapat dikendalikan dengan aman oleh beliau yang berjiwa lembut itu. Ramai pemeluk agama lain yang berduyun-duyun masuk Islam. Antaranya seorang pemuka Yahudi dari Yaman. Namanya Abdullah bin Saba’. Namun ternyata Abdullah bin Saba’ mempunyai tujuan lain. Dia mengharapkan dengan keislamannya, Khalifah selaku penguasa Negara akan memberikan penghormatan kepadanya.

Maka berangkatlah Abdullah bin Saba’ ke Madinah. Dia meminta keizinan untuk menghadap Khalifah. Setelah diperkenankan, dia menyampaikan keinginannya agar dilantik sebagai ketua salah satu jabatan penting dalam kerajaan. Tetapi Khalifah Uthman menolak. Dengan lembut Khalifah Uthman berkata,
“Aku hanyalah seorang pelayan umat. Aku diangkat menjadi Khalifah bukan atas keinginanku, tetapi berdasarkan musyawarah dan kesepakatan para sahabat yang lain. Tidakkah tuan tahu bahawa jawatan bukanlah suatu kehormatan tetapi adalah amanah? Apakah tuan sanggup memikul amanah itu sedangkan tuan baru sahaja mendapat kehormatan dengan memilih Islam sebagai agama tuan? Selain itu, adalah tidak wajar sesuatu kedudukan itu diminati atau diminta. Sebab Allah sahajalah yang berhak memberi atau mencabut kedudukan seseorang ".

”Keluar sahaja dari menghadap Khalifah, Abdullah bin Saba’ berwajah marah. Dia sanggup berpindah agama, dan sanggup pula menempuh perjalanan yang jauh dan melelahkan dengan harapan bakal memperolehi sanjungan dan jawatan tinggi. Tetapi ternyata apa yang didapatinya cuma nasihat dan teguran. Kerana itulah dia sangat berdendam. Tidak sahaja kepada Khalifah, namun kepada umat Islam dan agama Islam. Dia bertekad hendak membinasakan umat Islam dan memesongkan ajaran Islam. Maka dia berkeliling ke merata tempat, membisikkan agenda perpecahan dengan berita bohong, Bahawa sebenarnya pewaris khalifah yang sah adalah Sayyidina Ali bin Abi Thalib.

Sebahagian masyarakat ada yang terpengaruh dengan propagandanya. Mereka telah mendirikan kelompok pembela Sayyidina Ali bin Abi Thalib, yang dikenali sebagai Syiah Saba’iyah,. Begitu busuknya fitnah yang disampaikan oleh Abdullah bin Saba’ sehingga dia berani berkata: “Seharusnya yang menjadi nabi pilihan Allah adalah Ali bin Abi Thalib. Hanya kebetulan pada waktu itu Malaikat Jibril sedang mengantuk, sehingga wahyu Allah diberikan kepada Muhammad, orang yang tidak berhak”. Mendengar khabar-khabar beracun seperti itu Sayyidina Ali bin Abi Thalib pun berasa amat marah. Sehinggalah tatkala beliau diangkat menjadi Khalifah, dia telah memerintahkan supaya Abdullah bin Saba’ diusir keluar dari Madinah.


“Wahai ayahku, ku tujukan tulisanku ini kepada ruhmu. Aku masih kecil ketika engkau menanamkan ke dalam jiwaku perasaan takut akan akhirat. Engkau tidak pernah mengherdik ku (agar aku takut kepadamu). Akan tetapi engkau mempamerkan hidupmu dihadapanku. Akhirat menjadi perhitungan di hati dan lidahmu. Engkau bersungguh-sungguh dalam menunaikan hak orang lain ke atasmu tetapi engkau berlebih kurang terhadap hakmu ke atas orang lain kerana engkau amat takutkan pembalasan di akhirat kelak. Engkau memaafkan kesalahan orang walaupun engkau mampu untuk membalasnya". Syed Qutb




Tuesday, January 20, 2009

TOKOH USUL FIQH

IMAM AL-HARAMAIN AL-JUWAINI



NAMA DAN NASAB KETURUNANNYA


Beliau adalah imam besar, tokoh ulama' mazhab Syafi'e, imam dua tanah haram, penyinar agama Al-Faqih Abu Al-Ma'ali Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf bin Abdullah bin Yusuf bin Muhammad Al-Juwaini An-Nisaburi Asy-Syaafi'e.


Dilahirkan pada tahun 419 Hijrah di Juwain, iaitu salah sebuah kampung di Nisabur. Mengenai Nisabur ini, Imam Al-Baghdadi telah berkata: "Nisabur adalah sebuah kota besar yang telah melahirkan ramai tokoh ulama'". Umat Islam telah membuka kota ini pada zaman pemerintahan Khalifah Utsman bin 'Affan radiallahu 'anhu.



KEHIDUPANNYA


Imam Abdul Malik Al-Juwaini rahimahullah telah membesar dalam suasana yang penuh dengan keilmuan. Rumah tempatnya membesar didiami oleh individu-individu yang mempunyai ilmu, kebaikan dan kefahaman dalam urusan agama. Oleh itu, beliau telah dididik dan diasuh menurut acuan agama semenjak beliau masih kecil Bapanya iaitu Abu Muhammad Abdullah Al-Juwaini adalah merupakan seorang ulama besar pada zamannya di Nisabur. Beliau menjadi tempat rujukan dalam bidang Fiqh, Aqidah, dan ilmu-ilmu lain. Beliau juga terkenal dengan sifat wara’ dan zuhud.


Telah berkata Ibnu Khalkan : "Ibu Imam Abdul Malik Al-Juwaini asalnya adalah seorang jariah. Ayah beliau telah membeli ibunya dengan menggunakan wang hasil titik peluhnya sendiri. Semasa imam Abdul Malik Al-Juwaini dilahirkan, ayah beliau telah berpesan kepada ibunya agar imam Abdul Malik Al-Juwaini tidak disusui oleh orang lain melainkan hanya dengannya sahaja. Pada suatu hari seorang perempuan telah menziarahi ibunya lalu menyusui imam Abdul Malik Al-Juwaini. Tatkala mengetahui perkara ini, bapa beliau Sheikh Abu Muhammad Abdullah Al-Juwaini telah mengambil beliau lalu menterbalikkannya, kemudian beliau menekan perut Imam Abdul Malik Al-Juwaini sambil memasukkan jari ke dalam halkumnya sehinggalah susu yang telah disusui tadi dimuntahkan kembali".


Imam Abdul Malik Al-Juwaini telah mempelajari, menghafaz, membuat kajian dan menghurai segala masalah yang terdapat di dalam kitab-kitab karangan bapanya semenjak beliau masih remaja lagi. Beliau juga mempelajari ilmu daripada ulama’ mazhab Syafi’e yang terdapat di seluruh Nisabur dan tidak hanya bergantung kepada apa yang diajar oleh bapanya. Beliau amat tidak menyukai taqlid membabi-buta yang tidak berdasarkan hujah ilmiah. Beliau juga telah merantau ke pelbagai negeri bagi menambah ilmu pengetahuan. Antaranya ialah Makkah dan hijaz. Disebabkan itulah beliau dikenali dengan gelaran Imam Al-Haramain, iaitu imam dua tanah haram.


Setelah kewafatan bapanya Sheikh Abu Muhammad Abdullah Al-Juwaini, beliau telah mengambil alih tempat bapanya dalam memberi pengajaran dan ilmu, Umur beliau ketika itu belum mencapai dua puluh tahun. Wazir Nizhomul Mulk Al-Hasan bin Ali At-Thusi telah membina untuknya sebuah madrasah yang dikenali dengan Madrasah An-Nizhomiyah. Beliau telah mengajar di sana selama hampir 30 tahun. Setiap hari lebih 300 orang menghadiri majlis pengajarannya. Mereka terdiri daripada para pemimpin negeri, fuqaha' dan pelajar. Hasil pengajaran, didikan dan tunjuk ajar beliau, ramai ulama' dan fuqaha' telah berjaya dilahirkan dari madrasah ini.



PUJIAN ULAMA' TERHADAPNYA


Telah bersepakat ulama' pada zamannya atas ketinggian ilmunya, kefahamannya yang mendalam dalam hal ehwal agama dan kecerdikannya yang luar biasa. Mengenai hal ini beberapa ulama telah mengulas mengenainya.


Telah berkata Imam Abu Qasim bin 'Asakir: "Abu Muhammad Al-Juwaini adalah peneguh rukun Islam, pemimpin dalam hal ehwal agama, tinta syariat, terkumpul padanya ilmu pengetahuan timur dan barat, tidak pernah dilihat pada zamannya ulama' seumpamanya".
Berkata pula Al-Hafiz Az-Zahabi: "Beliau seorang imam yang tinggi ilmunya, tokoh ulama' mazhab Syafi'e, Imam dua tanah haram".


Berkata Abu Ishak Al-Fairuzabadi: "Ambilah manfaat dengan Imam ini, yaitu Abu Al-Ma'ali Al-Juwaini, sesungguhnya beliau adalah tempat mengambil manfaat pada zaman ini".
Telah berkata Abu Al-Hasan Al-Bakhorzi: "Kefaqihannya menyamai kefaqihan Imam Asy-Syafi'e, Adab pergaulannya menyamai Imam Al-Asmai'e, pengajarannya menyamai pengajaran Imam Hasan Al-Basri".



ANTARA GURUNYA


Imam Abdul Malik Al-Juwaini telah mengambil ilmu daripada bapanya Sheikh Abi Muhammad Abdullah Al-Juwaini, Abi Sa'ad An-Nasrubi, Abi Hassan Muhammad bin Ahmad Al-Muzaki, Mansur bin Ramisy, dan beberapa ulama' lain.



ANTARA PELAJARNYA
Antara murid yang mengambil ilmu daripadanya ialah Abu 'Abdullah Al-Furawi, Zahir Asy-Syuhami, Ahmad bin Sahl Al-Masjidi, dan lain-lain.



ANTARA KITAB KARANGANNYA
Beliau telah mengarang lebih daripada empat puluh kitab. Antaranya ialah:1. Al-Burhan fi Usul Al-Fiqh2. Al-Waraqaat3. At-Tuhfah4. At-Talkhis5. Asy-Syamil fi Usul Al-Din6. Al-Aqidah An-Nizhomiyah7. Al-Irsyad ila Qawati'i Al-Adillah8. Mukhtasor An-Nihayah9. Nihayat At-Tholab10. Al-Asaalib11. Ad-Durrah Al-Madhiah12. Al-Kaafiah13. Nihayah Al-Mathlab fi Al-Mazhab14. Madaarik Al-'Uqul15. Ghias Al-Umam fi Al-Imamah16. Mughis Al-Khalqi fi Ikhtiyar Al-Ahaqqi17. Ghunyah Al-Mustarsyidin



KEWAFATANNYA
Telah wafat Imam Abu Al-Ma'ali Al-Juwaini pada 25 Rabiul Akhir tahun 478 Hijrah. Beliau telah dimakamkan di negeri kelahirannya iaitu Nisabur. Kemudian selepas beberapa tahun kuburnya dipindahkan ke perkuburan Husin dan dimakamkan di sebelah kubur bapanya. Semoga Allah merahmatinya.






SENARAI RUJUKAN
1. جلال الدين محمد بن أحمد المحلِّي الشافعي (2003) شرح الورقات في علم أصول الفقه، القاهرة : دار الفضيلة.2. شمس الدين محمد بن أحمد بن عثمان الذهبي (1984) سير اعلام النبلاء، ج : 18، بيروت : مؤسسة الرسالة.3. الإمام الحافظ أبو الفداء إسماعيل بن كثير الدمشقي (دون السنة)، البداية والنهاية، ج : 12، المنصورة : مكتبة الإيمان.
‏السبت‏، 20‏ رمضان‏، 1429

Saturday, January 17, 2009

PERKAHWINAN

Pernikahan atau perkahwinan
Menyingkat tabir rahsia
Isteri yang kamu nikahi
Tidaklah semulia Siti Khadijah
Tidaklah setaqwa Aisyah
Tidaklah setabah Fatimah

Kerana isterimu hanyalah
Wanita akhir zaman
Yang punya cita-cita
Menjadi solehah

Pernikahan ataupun perkahwinan
Mengajar kita kewajipan bersama

Isteri menjadi tanah, kamu langit penaungnya
Isteri ladang tanaman, kamu pemagarnya
Isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya
Isteri adalah murid, kamulah pembimbingnya
Isteri bagaikan anak kecil, kamu tempat bermanjanya

Saat isteri menjadi madu, kamu teguklah sebaiknya
Ketika isteri menjadi racun, kamulah penawar bisanya
Seandainya isteri tulang yang bengkok,
Berhatilah meluruskannya

Pernikahan ataupun perkahwinan
Menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa
Untuk belajar meniti sabar dan redha
Kerana memiliki isteri, yang munkin banyak kerenah

Justeru kamu akan tersentak dari alpa
Kerana kamu bukanlah Rasulullah
Pun bukan sayyidina Ali Karramallahu Wajhah
Cuma kita suami akhir zaman
Yang berusaha menjadi soleh